| Ulasan Berkaitan Tulisan Dato' Seri Anwar Ibrahim |
|
|
Penulis ingin mengulas 'nawadir' yang ditulis oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, “Oh Tuhan! Tunjuki Aku Untuk Terus Menegakkan Keadilan” [ Klik Di Sini ]. Tajuk tersebut ditulis ketika beliau menziarahi Father OC Lim yang baru pulih setelah pembedahan jantung. Father OC Lim, sebagaimana yang disebutkan beliau adalah seorang paderi yang tegas memperjuangkan hak asasi dan keadilan. Malah semasa Dato' Seri Anwar merengkok di penjara, paderi tersebut sering mendoakan kesejahteraannya agar segera dibebaskan dari cengkaman kezaliman. Sebelum proses pembedahan, Father OC Lim dimasukkan pelalian oleh seorang doktor Muslim. Kemudian doktor tersebut membisikkan sesuatu ke telinganya, “biasanya bagi pesakit Muslim, saya bacakan al Quran; dan saudara seorang Nasrani, sila beritahu bahagian mana dari kitab Injil yang harus saya bacakan? Lantas Father OC Lim menjawab,'Psalm 23'. He makes me to lie down in green pastures: he leads me beside the still waters. He restores my soul: he leads me in the paths of righteousness for his name' sake. Yes, though I walk through the valley of the shadow of death, I will fear no evil: for you are with me; your rod and your staff they comfort me.You prepare a table before me in the presence of my enemies: you anoint my head with oil; my cup runs over. Surely goodness and mercy shall follow me all the days of my life: and I will dwell in the house of the LORD for ever.( American King James Version) [ Aku dibaringkan Tuhan-ku pada tempat yang banyak rumputnya, dan dihantar-Nya aku perlahan-lahan kepada air yang mengalir. Dia menyegarkan jiwaku: dia membawaku kepada lorong kebenaran demi kemegahan nama-Nya. Jika aku berjalan dalam lembah bayang-bayang maut sekalipun, aku tidakkan takut bahaya kerana Engkau juga menyertai aku, cokmar-Mu dan tongkat-Mu menenangkanku. Engkau menyajikan hidangan di hadapanku tentang segala seteruku; Engkau sirami kepalaku dengan minyak, dan piala kemenangan berlegar di sekelilingku. Sesungguhnya pertolongan dan kemurahan akan bersamaku pada setiap hari umurku, maka aku akan masuk ke dalam mahligai Tuhan sampai selama-lamanya ]. Ulasan penulis Penulis tidak dapat mengagak, apakah pendirian Dato' Seri mengenai kisah yang diceritakan. Adakah kerana dasar keterbukaan? Adakah sebagai sindiran sinis terhadap agamawan yang bisu terhadap kebenaran? Walau apapun persepsinya, penulis dengan rasa penuh adab, rendah diri dan bertanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu agama, mempunyai pandangan peribadi mengenai 'anekdot' yang telah diceritakan oleh Dato' Seri. Pertama sekali, tulisan ini tidak mengajak para pembaca menuding pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah. Boleh jadi pendapat saya ada benarnya, barangkali juga salah. Tetapi, terimalah tulisan ini sebagai suatu nasihat yang membawa kita – seorang Muslim – memikirkan nasib agama yang sedang dihadapi kini. Kudrat pengetahuan penulis berbeza dengan sikap ‘keterbukaan’ seorang doktor Muslim yang membacakan ayat-ayat ‘rukyah’ versi bible di hadapan pesakit Kristian. Peristiwa tersebut tidaklah menyebabkan penulis terlalu oportunis tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya terhadap ajaran Islam. Sewajarnya, usaha menyeru agar para pemeluk agama saling hidup penuh kerukunan tidaklah perlu sampai seorang Muslim sanggup membaca ritual penyembuhan dari kepercayaan agama lain. Maka pertanyaan yang perlu diajukan adalah; Mengapa tidak sahaja meminta kepada mana-mana penganut Kristian atau di kalangan keluarga Father OC Lim sendiri untuk membacakan bait-bait bible tersebut? Apa pula masalahnya jika doktor tersebut membacakan juga ayat-ayat rukyah dari al Quran kepada Father OC Lim? Al Quran bukan sahaja diturunkan untuk umat Islam, tetapi seluruh umat di jagatraya ini termasuklah kaum Yahudi dan Nasrani. Semua agama memikirkan soal keadilan Penampilan Father OC Lim sebagai salah seorang aktivis keadilan bukanlah satu perkara yang menghairankan. Pada tahun 1960-an lagi, fenomena ‘liberation theology’ telahpun berlaku di Amerika. Di kalangan tokoh-tokoh dan pemikir agama Katholik, mula melahirkan sifat kepedulian terhadap isu-isu keadilan sosial. Sebenarnya, mana-mana agama-pun memang mempunyai identiti menentang suatu orde sosial dan politik yang korup. Ini kerana, tiap-tiap agama mengandungi pesanan atau mesej yang sama: "Menentang kezaliman dan menegakkan keadilan". Agama Buddha sebagai contoh, juga antara pegangan yang meng-interpretasikan pergerakannya sebagai suatu wacana yang pernah menolak hegemoni kasta Brahmin yang mencengkam struktur sosial masyarakat Hindu pada waktu itu. Di Mesir, selama hampir 3 tahun penulis menyewa rumah milik penganut Kristian Katholik Mesir, Mama Suzann dan Baba Aizat. Seingat saya mereka berdua memang gemar menjamu penulis dengan hidangan biskut beraneka bentuk termasuk yang berbentuk 'salib'. Walaupun adakalanya mereka menyebut, 'Ya Raabb', 'Allah', ilaahi, tetapi maksud yang diperuntukkan adalah kepercayaan yang dipegang oleh tokoh pendetanya. Adakalanya kami berbincang mengenai sejarah Firaun termasuk zaman penjajahan Kerajan Kristian Rom Byzantine. Mereka sendiri mengakui kezaliman Rom ketika itu yang mencengkam Mesir, dan berakhir dengan kedatangan 'Saidina' Amru ibn al 'Ash (perkataan 'saidina' disebut oleh Baba Aizat) yang membawa agenda dakwah Islamiyyah. Penulis mendengar dengan perasaan ta'ajub, suatu fakta ‘berani dan benar’ keluar dari mulut penganut Kristian Katholik tanpa rasa dengki. Benar, Islam menuntut kita mempertahankan keadilan sejagat. Dalam Islam tiada perjuangan berkonsepkan ‘rasist’ ataupun ‘etnik’, tetapi hanya satu umat – iaitu umat manusia yang taraf kejadiannya berasal dari aset kekhalifahan Adam alaihissalam. Kerana itu Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) berhak berkoalisi atas dasar perjuangan yang sama; menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Ketiga-tiga parti ini berusaha menegakkan keadilan, tetapi melalui strategi berdasarkan kritik wacana-kuasa (discourse-power) terhadap struktur kekuasaan politik, BUKANNYA meleburkan identiti agama masing-masing. Penulis tidak bercadang untuk memfokuskan perbahasan ‘koalisi parti Muslim dan parti non-Muslim’ dengan lebih detail. Apapun hujjah kita mengenai koalisi POLITIK antara parti berlainan ideologi – Islam dan non-Islam ini masih berlegar di ruang ijtihad. Tidaklah menjadi kesalahan besar parti Muslim berkoalisi dengan parti non-Muslim pada perkara melibatkan dasar perjuangan yang sama seperti memerangi rasuah, menghentikan kezaliman pemerintah, mempersoal akauntabiliti pemerintah, bersikap peduli rakyat terhadap penyelewengan dan sebagainya. Tetapi, ada masalah lain yang lebih merisaukan bakal terjadi jika kita tidak mengetahui ruang yang diperuntukkan dan wasilah yang dibenarkan oleh Islam akibat dari – kerjasama – ini. Apa yang penulis khuatirkan? Penulis khuatir sikap keterbukaan yang berlegar di sekeliling masyarakat Malaysia - terutamanya tentang perbuatan doktor beragama Islam tersebut mula bergeser sehingga cenderung mengarah kepada sintesis agama; prinsip yang membawa 'seluruh agama adalah sama'. Tradisi fahaman yang dikenali dengan istilah 'transendental unity of religion' pernah dipelopori oleh tokoh-tokoh mistik seperti Titus Burckhardt, Martin Ling, Frithjof Schuon,termasuk filosof Syiah iaitu Syed Hossein Nasr dan lain-lain lagi. Karya-karya mereka ini, khususnya Frithjof Schuon dengan bukunya 'The Transcendent Unity of Religions' sangat sarat dengan gagasan-gagasan yang menjadi inspirasi dasar bagi pertumbuhan pluralisme agama. Umumnya, fahaman pluralisme ini sedang berusaha merapatkan semua agama pada posisi yang sama. Bagi mereka yang berpegang dengan fahaman tersebut, mereka akan berkeyakinan bahawa proses perkembangan agama adalah hasil daripada evolusi. Bermula dari dinamisme, animisme, politeisme atau henoteisme, lalu membentuk monoteisme yang juga disebut sebagai agama tauhid. Begitupun, monoteisme tidak dinilai sebagai kebenaran terakhir, malah dianggap masih boleh menerima perubahan sehinggalah menuju kepada falsafah keagamaan yang tiada sempadan termasuk menerima atheisme (tidak beragama). Inilah yang paling merisaukan, fahaman ini pada akhir nanti akan menolak kemutlakan yang menyatakan bahawa kebenaran hanya ada di dalam Islam. Sekiranya perkara ini benar terjadi, maka ia adalah penghinaan kepada seluruh para Rasul dan Allah Taala tanpa kita sedari. Islam adalah agama tauhid muktamad. Hukum syariat menerima keanjalan, evolusi dan perubahan tetapi hak keimanan dan keyakinan kita kepada Allah mestilah bersifat thabat, tetap dan tidak berubah. Monoteisme yang ada pada Islam bukanlah hasil evolusi pemikiran, kerana Adam alaihissalam telah dahulu mengenal ‘tauhid’ – Allah yang bersifat tunggal tiada sekutu bagi-Nya. Kerana itu, penulis sangat khuatir apabila Islam pada hari ini cuba difahami dengan gaya falsafah orientalis Barat. Ia adalah fahaman yang sudah merebak di setiap lapisan masyarakat Islam. Maka, adakah kita sebagai Muslim wajar membaca 'rukyah bible' dengan niat bahawa Allah akan memustajabkan penyembuhan tersebut? Adakah perkara seperti ini dinamakan tasammuh (toleransi) sejajar dengan ajaran Islam? Kita mahukan keterbukaan sehingga kononnya pada peringkat itu, Tuhan agama Islam bernama ALLAH manakala Tuhan agama Kristian yang dipanggil 'The Father', yang berbeza hanya jalannya, tetapi yang dituju adalah sama iaitu Tuhan. Adakah begitu? Ini adalah fahaman yang sangat bercanggah dan perlu diperbetulkan. Hal inilah yang menjadi pengakuan orang Arab Jahiliyyah yang mendakwa menyembah Allah tetapi melalui perantaraan berhala. Islam tidak menolak kepercayaan bahawa Tuhan itu satu, tetapi Islam menolak kepercayaan bahawa kesemua agama percaya kepada Tuhan yang sama. Islam bukan agama falsafah sehingga kita sanggup berteori tentang Islam mengikut akalnya sendiri. Tetapi, Islam adalah salah satu agama samawi yang mana penafsiran dan syarahannya mestilah berteraskan wahyu dan kalam Nabi. Al Quran dengan jelas menerangkan kepelbagaian agama yang ada, tetapi al Quran tidak pernah menerima kepercayaan bahawa kebenaran yang dibawa oleh mana-mana agama itu sama. Masyarakat non-Muslim – Quraish pernah memberi cadangan kepada Nabi salallahualaihi wasalam agar tahun ini Baginda menyembah Latta dan Uzza, manakala tahun depan mereka akan menyembah Allah pula. Kata mereka, "Sembahlah tuhan kami setahun dan kami akan menyembah pula Tuhan kamu (Muhammad) setahun". – Peristiwa bermulanya turun surah al Kafirun. Tetapi, Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam tidak berkrompomi dengan 'keterbukaan' seperti ini. Penulis faham, perbuatan doktor tersebut mestilah datang dengan niat yang baik. Tetapi, niat yang baik biarlah kena pada cara kita sebagai seorang Muslim. Islam tidak menegah kita bahu-membahu bersama masyarakat non-Muslim, membela kepentingan bersama, mempertahankan keadilan, menjaga dan memperjuangkannya, bahkan Islam mengajak seluruh umatnya berfikir secara konsekwan dengan menuntut sikap terbuka dan akomodatif selagi ia benar menurut garis panduan wahyu. Bagi masyarakat non-Muslim yang tidak menyatakan permusuhan terang-terangan kepada kaum Muslimin, kita dibolehkan hidup dengan penuh kerukunan dan damai bersama mereka. Firman Allah Taala yang bermaksud;
"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya MELARANG kamu menjadikan berkawan dengan orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" - surah al Mumtahinah: 8-9, al Quranul Karim. Namun, kita sebagai kaum Muslimin dilarang mengikut serta dalam segala bentuk ritual dan keyakinan kaum non-Muslim dalam segala hal, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Taala yang bermaksud;
"Aku (Muhammad) tidak menyembah apa yang kalian sembah dan kalian tidak menyembah apa yang aku sembah bagi kalian agama kalian dan bagiku agamaku" - surah al Kafirun:4-6, al Quranul Karim. Niat yang baik untuk membina hubungan mesra dengan masyarakat non-Muslim bukanlah alasan untuk membela dan mempertahankan mereka sehingga kita sanggup 'mencemar duli' melakukan ritual agama yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam. Andainya agama-agama lain juga benar dan dapat membawa umat masing-masing mencapai keselamatan hakiki dan abadi, lalu apa perlunya Allah mengutus Muhammad salallahualaihi wasalam sebagai Rasul utusan terakhir? Apa pula ertinya pernyataan Tuhan, kebenaran hanya ada pada Islam;
"Bahawa Dialah yang mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya" - surah at Taubah:33, al Quranul Karim Islam dan keterbukaannya Perasaan ‘keterbukaan’ seperti yang diceritakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai perbuatan seorang doktor Muslim tersebut, lebih terdorong oleh keinginan untuk menyenangkan seluruh masyarakat majmuk di mana-mana negara yang berlainan agama. Walhal, kemajmukan agama bukanlah fenomena baru. Ia telah wujud seawal zaman pemerintahan Nabi salallahualaihi wasalam di Madinah lagi. Dan formula menangani ritual-ritual sembahan dan peribadatan yang dilakukan oleh masyarakat non-Muslim terumus pada ungkapan al Quran yang bermaksud, “Bagi kamu agama kamu dan bagiku (Muhammad) agamaku”. Ketahuilah, Islam datang bukannya setelah kerasulan Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam. Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir bukanlah pelopor kepada ajaran Islam. Tetapi, kedatangan Baginda salallahualaihi wasalam adalah sebagai penyelamat kepada ajaran ini kerana Islam telah datang sejak kelahiran Nabi Ibrahim alaihissalam lagi. Firman Allah Taala yang bermaksud;
"Ibrahim telah berwasiat kepada anak-anaknya dan juga Yaakub (tentang agama Islam), 'Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) untukmu, maka janganlah kamu mati, melainkan dalam keadaan Muslim (beragama Islam)'. Adakah kamu tahu, ketika Yaakub hampir wafat, ketika itu dia berkata kepada anak-anaknya; Apakah yang akan kamu sembah, selepas kematianku? Jawab mereka, 'Kami sembah Tuhanmu dan Tuhan bapamu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, sedang Dia-lah Tuhan Yang Esa; dan kami patuh kepadaNya (menjadi Muslim)" - surah al Baqarah:132-133, al Quranul Karim Penulis tidak menafikan bahawa perkara agama adalah perkara yang sangat peribadi sehingga dalam rangka kebebasan ia termasuk dalam hak asasi manusia; “Tiada paksaan dalam agama”. Kerana itu, penulis tidaklah terlalu fanatik, bermati-matian mengatakan Islam sebagai agama paling hebat, paling istimewa melebihi agama-agama lain. Hakikatnya, Islam itu adalah agama fitrah dan praktis, hanyasanya bagaimana kita mampu mengaktifkan Islam bukan sahaja secara individual tetapi turut secara jamahiriyyah. Penulis juga tidak mengajak para pembaca mengatakan masuk Islam itu syurga, dan selainnya adalah neraka - dalam ilmu dakwah, pengucapan seperti ini hanyalah akan membangkitkan rasa permusuhan antara agama dan menghilangkan sikap positif penganut agama lain terhadap Islam. Tetapi dalam menyatakan Islam sebagai agama yang benar dan tiada keraguan; samada anda dituduh jumud mahupun konservatif - penulis lebih selesa untuk tidak berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan pegangan dan ritual dengan kepercayaan agama lain. Bagaimanapun, pada kelainan ini penulis sendiri pernah membaca, memiliki dan mengkaji kitab bible. Di dalam koleksi kitab-kitab saya, penulis memiliki kitab bible versi 'New Testament' – ‘Perjanjian Baru’(Ahdul Jadid) dalam dwibahasa – bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, termasuklah 'The Gospel of Barnaba' - Injil Barnaba. Di Universiti al Azhar, kami diajar untuk mengkaji sebahagian besar kandungan bible versi new testament dan juga old testament. Kami diajar bukan untuk membuka arena perdebatan, mengadakan kompetesi, tetapi tujuannya adalah untuk mematahkan hujjah-hujjah para missionari dan mengetahui beberapa kesalahan yang terdapat di dalam ajaran Kristian. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh tokoh pendakwah yang dikagumi oleh Dato’ Seri Anwar sendiri iaitu, Sheikh Ahmed Deedat rahimahuLlah. Sheikh Ahmad Deedat membuktikan kebenaran al Quran dengan mempersoalkan pelbagai penyimpangan dan penyelewengan yang terdapat di dalam Bible secara disertasi.
Selain dari Sheikh Ahmed Deedat atau anak muridnya Dr. Abdul Karim Naek yang kita kenali, ada lagi tokoh pendakwah sepertinya, malah lebih awal mendahuluinya dalam arena berkonfrontasi secara baik dengan pihak missionari. Segala soalan-soalan berbentuk dakwaan yang dibuat oleh pihak missionari pada waktu itu, telahpun dipatahkan olehnya di dalam kitab al ‘Ajubah al Fakheerah ‘an al ‘As’alati al Faajerah’. Beliau adalah ulama’ besar di zaman kerajaan Abbasiah, iaitu al Imam Sheikh Shibuddin al Qarafi rahimahuLllah, salah seorang anak murid Sultanul Ulama’ Sheikh Izzuddin ‘Abdis Salam. Sheikh al Qarafi mampu menjawab segala persoalan missionari yang sengaja mencipta keraguan terhadap Islam. Jawapannya bukan sahaja berdasarkan ayat-ayat suci al Quran tetapi turut menyandarkan beberapa teks yang terkandung di dalam seluruh kitab muqaddas – termasuk Talmud. - Penulis mengesyorkan para pembaca memiliki kitab karangan Imam al Qarafi ini yang telahpun di’tahqiq’ oleh Dr.Bakar Zaki Iwadh, salah seorang pensyarah-ku di kuliah usuluddin jabatan dakwah. Kitab tersebut telah diterbitkan di bawah cetakan Maktabah Wahbah. Dapatkan semasa Ma'arad Kutub ad Dauli. Penutup Umat Islam dididik untuk tidak berburuk sangka sesama saudara, tetapi dalam hal yang melibatkan doktrin-doktrin bible, Talmud, sumber-sumber Isra’eliyyat dan sebagainya; Nabi salallahualaihi wasalam mengajar kepada kita untuk sentiasa merasa waspada – bukan terus percaya berdasarkan sentimental ‘toleransi’, ‘keterbukaan’ dan sebagainya. Lihatlah salah satu contoh kecanggungan yang terdapat di dalam kitab muqaddas versi ‘Old Testament’; di sana ada catatan mengenai kisah Tuhan (Yahweh dalam bahasa Yahudi, adakalanya mereka menyebut sebagai Jehovah) telah ditewaskan oleh Nabi Yaakub alaihissalam di dalam satu pertandingan gusti. “…The man (Yahweh) asked him, ‘What is your name?’ ‘Jacob’ he answered. Then the man said,’Your name will no longer be Jacob, but Israel because you have struggled with god and with men and have overcome…” Inilah salah satu contoh pendustaan yang terdapat di dalam bible. Bagaimana seorang Nabi boleh ‘smackdown’ dengan Tuhan? Bible bukanlah sebuah kitab yang dipenuhi dengan ilmu-ilmu seperti balaghah, ilmu ma’ani, istia’rah dan sebagainya, sebagaimana yang terkandung di dalam al Quran. Penulis sedar, tulisan seperti ini tentunya tidak begitu disenangi oleh pembaca yang sukar menerima hal-hal yang dilihat kontra dan yang seumpamanya. Walau bagaimanapun, penulis menyarankan janganlah kerana isu ini keluar dari seorang tokoh yang kita hormati dan kita kagumi, ia menyebabkan pertimbangan kita terkandas dari prinsip keadilan Islam. Fahamilah, teguran penulis adalah tanda kasih kita bersaudara tanpa niat buruk seperti menjatuhkan peribadi, memburukkan atau yang seumpamanya. Niat yang baik dilakukan oleh seorang doktor perubatan Muslim dalam cerita Dato’ Seri tadi, mudah-mudahan hasilnya jugakan baik. Tetapi, untuk mengelak sebarang fahaman buruk dan persepsi yang tidak sihat, Islam telah meletakkan cara lain yang lebih baik dari niat tersebut.
"Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. ALLAH-lah TUHAN KAMI dan TUHAN KAMU. Bagi kami AMAL-AMAL KAMI dan bagi kamu AMAL-AMAL KAMU. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nya lah kembali (kita)" - surah as Syura:15, al Quranul Karim
Sekian. Wassalam Dicatat oleh Qutuz's Legacy di Sabtu, November 21, 2009
Hanya Ahli Berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk menghantar komen. Powered by AkoComment Tweaked Special Edition v.1.4.6 |
||||
| < Prev | Seterusnya > |
|---|

| Sun, Sep 12th, @8:30am - 11:30PM Sambutan Hari Raya Aidilfitri (SAMARA) |
| Mon, Sep 13th, @7:30am - 11:30PM Sambutan Hari Raya Aidilfitri (SAMARA) |
| Sat, Sep 18th, @7:00am - 05:00PM Haflah Aidilfitri 1431H (HATI) PMRAM |
| Sun, Sep 19th, @8:00am - 08:00PM Ketibaan Mahasiswa/wi Baru (Selangor) di Mesir |