|
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Marilah kita bersama-sama mempersembahkan kalimah syukur penuh tawajjuh kepada Allah Taala di atas limpah kurniaan-Nya. Dengan berbekalkan semangat ukhuwwah yang subur dan rasa mahabbah fi’Llah yang mendalam, saya Yang DiPertuan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), mewakili saf kepimpinan AJKT BKASM mengucapkan 'taqabalALLAHU minna wa minkum', bersempena dengan kedatangan bulan Syawal 1430 H.
Marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Janganlah kerana kerakusan terhadap pengaruh, kuasa, dengki dan hasad, kita sanggup memperjudikan maruah sebagai seorang Muslim.
Persaudaraan adalah nikmat Tuhan yang wajib dipelihara dan disyukuri. Dengan demikian, tidak menghargai persaudaraan atau memutuskan persaudaraan bererti, kufur nikmat atau tidak mensyukuri nikmat. Kerana itu perbezaan persepsi, perbezaan pendekatan atau perbezaan ideologi tidak seharusnya sampai mengorbankan persaudaraan.
Begitu juga dalam usaha meraih maksud falsafah bulan Ramadhan kali ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas tindakan menangkap pemimpin gerakan ajaran sesat yang dipimpin oleh Abdul Kahar Ahmad (Rasul Melayu) pada 16 September 2009. Saya mewakili pihak BKASM mengharapkan tindakan tegas JAIS menangai isu-isu seperti ini menjadi contoh kepada agensi-agensi penguatkuasaan agama di peringkat negeri-negeri lain.
Buat akhirnya, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan sikap istiqamah, seterusnya menjadi Muslim yang berprinsip tegar, menjunjung dasar Al Quran dan Sunnah di sepanjang perjalanan hidup kita. Insya Allah.
Di kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh kakitangan Kedutaan Malaysia ke Kaherah, para pegawai kerajaan negeri khususnya Ustaz Abdul Halim b Saljadi. Tidak dilupa seluruh Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan seluruh angkatan wadah kesatuan ini. Seluruh warga BKASM di Kaherah mahupun di Muhafazah, termasuk juga mahasiswa-mahasiswi yang menuntut di bumi barakah ini tanpa mengira ideologi dan fahaman.
Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al Quran dan Sunnah Rasulullah salALLAhualaihi wasalam adalah panduan yang paling utama.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Abdul Aziz Akhimullah bin Roslan
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
sesi 2008 / 2009
Hanya Ahli Berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk menghantar komen. Sila Mendaftar atau Daftar Masuk. Powered by AkoComment Tweaked Special Edition v.1.4.6 AkoComment © Copyright 2004 by Arthur Konze - www.mamboportal.com All right reserved
|