|
[ Telah disunting dari Ucapan Dasar Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) 2004 - Hari Manifesto 2004 ] Marilah kita bersama-sama mempersembahkan kalimah syukur penuh tawajjuh kepada Allah Taala di atas limpah kurniaan-Nya, masih terbias kepada hamba-Nya sehingga ke hari ini. Dengan berbekalkan semangat ukhuwwah yang subur dan rasa mahabbah fi’Llah yang mendalam, saya mewakili saf kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) mengalu-alukan seluruh kehadiran ahli ke Majlis Ucap Tema Hari Manifesto dan Ribat ‘Idilfitri. (IKTIRAF 2004). Kehangatan menyambut bulan Syawal yang penuh dengan agenda Al-Falah, moga-moga menjadi inspirasi berguna kepada seluruh warga ahli BKASM yang bakal menghadapi imtihan Fasa Pertama kelak. Justeru, manfaatkanlah waktu sebaik-baiknya untuk kita menilai kembali prestasi maklumat dan khittah (perencanaan) jadual demi memartabatkan agama Allah di muka bumi ini.
Ahli-ahli BKASM yang dihormati,
Jika diimbas kembali keperkasaan umat pada zaman Rasulullah SALLAHUALAIHI WASALLAM, tidak dapat dinafikan bahawa elemen islah dan tarbiah merupakan pemacu utama dalam membentuk jatidiri para sahabat. Para sahabat baginda SALLAHUALAIHI WASALLAM merupakan mereka yang tinggi imannya dan sangat patuh pada ajaran Islam. Ramai di kalangan sahabat Baginda SALLAHUALAIHI WASALLAM telah menjadi tokoh aspirasi ummah dalam usaha mendukung ajaran agama Allah. Mereka telah ditanamkan rasa iltizam yang tinggi untuk mencorakkan halatuju masyarakat Arab ketika itu kepada ajaran Islam yang sebenar dengan. Kecekalan Bilal mempertahankan prinsip aqidah, jalinan ukhuwwah fi’Llah antara Muhajirin dan Ansor , ketegasan Muaz bin Jabal mendokong undang-undang samawi, semuanya itu telah mencipta gelombang kebangkitan Islam di Madinah bahkan telah melebar keseluruh pelusuk alam.
Firman Allah Taala, maksudnya: “Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-Nya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang jurang lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim” (Surah at-Taubah 109:9:11)
Oleh hal yang demikian, tuntutan dominan ini perlu diberikan perhatian bersungguh-sungguh di seluruh peringkat warga BKASM yang kita sayangi. Perencanaan strategi adalah penting untuk merealisasikan visi tarbiah dengan lebih berkesan.
Justeru itu, mekanisma tarbiah perlu dijadikan program ritual dengan memantapkan institusi usrah dan tamrin. Kedua-dua modus operandi ini perlu diteroka fungsinya serta medan operasinya mencakupi dimensi rohani, aqli, emosi, jasmani dan peribadi berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Kita mestilah mampu merumuskan manhaj dakwah dengan penuh bijaksana selaku penyeru bukan sebagai sebagai penghukum.
Kebijaksanaan dapat dilaksanakan sekiranya karekter seorang pendakwah itu tidak terlalu menekan dan tergopoh-gapah mengharapkan tranformasi mendadak. Kita seharusnya bersedia membuka ruang kepada seluruh mad’u tanpa sebarang prasangka dan sedia memahami kekurangan dengan harapan bahawa mereka yang bersatu atas kecintaan terhadap Islam akan dapat diteguhkan iman, ditingkatkan ilmu dan diperbanyakkan amal. Tanggapan melulu melalui analisa zahir semata mesti dihindari kerana wadah kesatuan ini terbuka menghimpunkan berjuta watak peribadi ahli yang mesti diraikan, disamping mengatur kaedah tarbiah yang bermarhalah. Rasulullah SALLAHUALAIHI WASALLAM berpesan kepada kita semua dengan sabdanya:
ما احد يحدث قوما بحديث لا تبلغه عقولهم الا كان فتنة على بعضهم
Maksudnya: “Tidak ada seorangpun yang membicarakan sesuatu kepada suatu golongan dengan cara yang tidak dapat mereka mengerti kecuali akan menimbulkan kekacauan bagi sebahagian di antara mereka”
Agama Islam perlu difahami sebagai agama yang universal merangkumi setiap spektrum kehidupan. Slogan ‘Islam the way of life’ (Islam sebagai cara hidup) dijadikan sandaran kepada roh perjuangan dalam menegakkan yang ma’ruf dan menegah kepada kemungkaran. Hal inilah yang paling ditakuti oleh mereka yang memusuhi Islam, lantas mendakwa golongan ini sebagai muslim fanatik. Hakikatnya, musuh-musuh Islam amat toleran terhadap pengertian Islam sekadar menyentuh persoalan ibadah semata tetapi sebaik sahaja menyentuh soal kebenaran dan keadilan, mereka akan galak menentang.
Tanggungjawab melunasi tuntutan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar seharusnya dijadikan budaya kepada seluruh ahli BKASM. Ini sejajar dengan sabda Baginda SALLAHUALAIHI WASALLAM yang maksudnya: “Agama itu adalah nasihat menasihati” Para sahabat bertanya: “Untuk siapa ya Rasulullah? Baginda SALLAHUALAIHI WASALLAM menjawab: “Untuk menegakkan agama Allah, untuk melaksanakan ajaran-ajaran yang termaktub di dalam kitab-Nya, untuk mematuhi perintah Rasul-Nya, Untuk mematuhi pemimpin kaum-kaum Muslimin dan untuk kesejahteraan mereka, kaum muslimin seluruhnya”.
BKASM sebagai wadah perjuangan amat menjunjung tinggi ciri-ciri Islamisasi. Oleh itu, Menjadi kewajipan kepada diri kita untuk memiliki rasa kepekaan dan senstiviti pada dasar yang mengancam dan ruwet kepada perkembangan dakwah Islam. Sikap sambil lewa, tidak peka, takut untuk bersaing, berpuas hati dengan agenda yang sedia ada, semuanya itu akan mengongkong fleksibeliti dakwah Islamiah ke arah yang lebih global.
Cabaran Globalisasi yang dihadapkan kini pula membayangkan masa depan akhlak terdedah dengan situasi yang sangat kritikal. Kemajuan dan kerakusan mengejar kekayaan, kemasyhuran, dan kekuasaan, semuanya itu merupakan unsur-unsur malapetaka moral yang kronik. Suatu penjajahan budaya yang diistilahkan sebagai US cultural imperialism turut mengenengahkan definasi baru terhadap hiburan. Mana-mana masyarakat tidak terlepas daripada menerima penjajahan budaya yang semakin menular ini bahkan ada di antaranya yang menerimanya dengan hati terbuka. Apa ertinya kemajuan jika masyarakat sudah hilang jatidiri dan pedoman.
Namun, jalan keluar dari krisis akhlak ini bukanlah dengan menolak kemajuan. Tidak pula memendam rasa dan cuba lari daripada realiti hidup yang ada. Malah kita tidak seharusnya meratapi pada apa yang telah ditentukan oleh Allah Taala. Sebaliknya persoalan akhlak yang dihadapkan kini, perlu diteliti dengan jujur berpandukan sumber tasyri'e yang muktamad iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kehendak adat yang bertentangan, pergolakan diri yang inginkan kebebasan, kekusutan krisis nilai dan konflik identiti yang membinasakan peribadi perlu diberikan suntikan kepada penyelesaian yang lebih berhemah agar kewibawaan Islam untuk memimpin perubahan, menongkah arus semasa, mempunyai karisma dan identiti yang di segani.
Menyedari realiti dan cabaran yang begitu hebat berada di hadapan kita, BKASM harus lebih terus komited dan bersemangat dalam melakukan proses taghyir dan dakwah. Kita selaku warga Azhari/ Azhariah bukan sahaja bersedia untuk mempelajari dan mengamalkan Islam dengan penuh keazaman tetapi juga bersedia untuk mengajarkannya kepada umat dengan penuh iltizam dan istiqamah. Justeru itu, kita mestilah sentiasa bermuhasabah untuk menilai kembali prestasi terutamanya dalam meningkatkan kualiti diri sama ada yang berkaitan dengan hubungan kita dengan Allah mahu pun hubungan kita sesama makhluk.
GOLONGAN ILMUAN PEMANGKIN KEKUATAN
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Kehidupan didunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah Taala menyediakan tenaga pengajar yg cukup mahir terdiri daripada para anbiya dan juga rasul alahissalam dan kemudiannya disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga ke hari kiamat. Firman Allah Taala maksudnya: “Hai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepadamu: ‘berlapang-lapanglah dalam majlis’, maka lapangkanlah. Nescaya Allah akan memberikan kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan; ‘Berdirilah kamu’, maka berdirilah nescaya Allah Taala akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Surah al-Mujadalah 22:28:58)
Kalam Maha Agung di atas telah meletakkan golongan ilmuan pada kedudukan yang begitu dipandang mulia. Justeru itu, kekerapan ahli BKASM untuk hadir ke kuliah formal jua informal yang telah direncanakan perlu diberikan perhatian agar input maklumat selaku masyarakat Azhari sentiasa meningkat. Strategi juga kaedah pembelajaran perlu dirancang, mengikut kadar keilmuan yang ingin dicapai bukannya mengikut kadar keselesaan yang dimiliki.
Budaya hedonisma yang berlebihan dan kegagalan merancang kelapangan waktu di dalam rencana jadual hendaklah dinyahkan di dalam realiti masyarakat Azhari di sini. Kecemerlangan akedemik merupakan senjata ampuh bagi melumpuhkan hujah-hujah musuh. Diharapkan semangat yang berkobar-kobar dikalangan ahli BKASM demi merealisasikan kenaikan peratusan kelulusan 100% menjadi bukti berkat usaha dan doa hasil cetusan ikhtiar yang berterusan.
Seluruh Ahli BKASM ini perlu menyedari bahawa kita seringkali ditohmah dari sudut kecemerlangan. Sama ada benar atau tidak, kita mesti membuktikan segalanya melalui ulangkaji berterusan dan sentiasa memohon kepada Allah Taala semoga kecemerlangan yang diharapkan pada tahun ini mampu digapai sehingga ke tahun-tahun berikutnya.
WAHDATUL UKHUWWAH MENGUNDANG QUWWAH
Hadirin-hadirat yang dihormati,
Menyingkap lembaran sejarah silam yang telah termaktub di dalam al-Quran, Perjuangan para Nabi dan Rasul dalam menyatukan aqidah dan persaudaraan bukan sekadar catatan dokumentasi yang hanya dijadikan rujukan sejarah. Prinsip kesatuan ditegakkan di atas satu dasar kepercayaan, satu titik permuafakatan, satu semarak perjuangan, satu tekad, satu syariat dan satu undang-undang. Pendakwaan yang dibuat oleh pihak orientalis bahawa masyarakat Muslim menghadapi fenomena watak dualisme adalah penipuan sama sekali untuk menghancurkan keutuhan umat Islam. Inilah yang telah disebut oleh Mahmood Mamdani di dalam bukunya yang bertajuk ‘Good Muslim, Bad Muslim: America ;The Cold War & The Roots Of Terror”.
Wahdatul Ukhuwwah adalah isu ummah yang mesti diberikan perhatian. Kewibawaan ummah begitu bergantung keadaan perpaduan dalam masyarakat. Masyarakat yang yang berpecah akan sentiasa diperemehkan. Sebaliknya agama Islam yang kita dokongi adalah agama yang menolak unsur-unsur kepuakan, ta’assub kenegerian. Justeru itu formula Rakan Ta’akhi PMRAM mesti difahami perlaksanaannya disamping pantauan yang berterusan melalui Jawatankuasa Khas yang dilantik. Sikap keterbukaan, toleransi yang tinggi dan sifat mengutamakan kemaslahatan umat adalah ciri yang mesti dimiliki untuk menjayakan formula Rakan Taakhi PMRAM ini.
Akhlak menghormati kunjungan tetamu ke teratak permukiman kita hendaklah diperbaiki semula skema-skema sambutannya. Tautan kemesraan yang tulen, menghulurkan salam dan melontarkan senyuman adalah nilai murni yang dituntut oleh Islam demi menjamin keberkatan ukhuwwah yang optimum.
MENCERLANG PENGURUSAN ORGANISASI
Meninjau kelicikan pengurusan Zionis untuk mencapai matlamat Israel Raya, sewajarnya kita menilai kembali tahap pencapaian dan kualiti pengurusan organisasi. Setiap penggerak agenda tahunan BKASM sama ada di semua peringkat ahli BKASM perlu menanam kesungguhan untuk berorganisasi sehingga mencapai standard pengurusan yang berkualiti. Sekalipun usaha ini memerlukan tempoh jangka masa yang panjang untuk melahirkan generasi-generasi yang faham persatuan dan celik pengurusan. Namun ketekunan untuk mendorong jatidiri ke medan pengurusan perlu dititik beratkan.
Perancangan yang baik adalah perancangan yang mengikut tempoh masa yang terdapat padanya : perancangan jangka pendek, perancangan jangka sederhana dan perancangan jangka panjang. Rancangan jangka pendek mesti diintegrasikan dalam rancangan jangka panjang. Rancangan jangka panjang pula mesti dibahagi-bahagikan kepada beberapa rancangan jangka pendek. Kesinambungan dan persamaan diantara rancangan-rancangan ini adalah penting untuk mengaplikasi pengurusan sumber tenaga dan program yang hendak dilaksanakan .
Pengurusan secara profesionalisme yang tidak bertentangan dengan syara’ perlu diberi perhatian sewajarnya supaya golongan ulama’ tidak terpinggir di arena ketuanan Islam. Namun, di sebalik kesibukan berpersatuan, kitab-kitab kuliah dan kehadiran ke majlis-majlis ilmiah jangan diabaikan. Kegagalan untuk peka terhadap pengurusan masa juga perlu diberikan perhatian. Adalah amat mengaibkan jika golongan warga BKASM gagal menepati waktu kehadiran mesyuarat atau sebarang waktu temujanji yang diatur.
SRIKANDI MERENTASI TUNTUTAN KONTEMPORARI
Sejak berkurun-kurun lamanya realiti sirah ar rasul memaparkan kepada kita bahawa survival perjuangan dakwah mereka bukan sekadar terpundak di bahu pemuda semata-mata. Peranan srikandi juga turut digembleng menerusi saluran tenaga dan buah fikiran. Pada zaman Rasulullah SALLAHUALAIHI WASALLAM dan para sahabat , telah lahir beberapa tokoh-tokoh muslimah yang tampil ke arena dakwah antaranya Saidatina Khadijah Khuwailid, Saidatina A’isyah Abu Bakar, Saidatina Asma’ Abu Bakar, Saidatina Fatimah Az Zahra’ dan ramai lagi. Mereka di antaranya ada yang berperanan mengusung mayat tentera-tentera Islam di medan perang, ada juga yang menjadi perawi hadith bahkan menjadi pendidik kepada generasi sahabat.
Islam cukup memandang tinggi peranan srikandi di dalam masyarakat dan negara. Hakikat bahawa semua gerak kerja kebajikan tidak dibezakan di antara kaum lelaki dan srikandi. Peranan mereka telah mendapat pengiktirafan oleh Allah Taala melalui firman-Nya yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh , baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telahmereka kerjakan". (Surah an-Nahl 16:97)
Bagaimanapun perubahan-perubahan dalam era millenium ini cukup mencabar peranan srikandi BKASM khususnya, untuk bersikap lebih matang, dinamik, dan kreatif. Srikandi wajar menunjukkan kewibawaan membicarakan peranan dan kedudukan wanita daripada perspektif Islam sebenar tanpa dipengaruhi oleh aliran pemikiran yang jumud dan cynical terhadap dasar-dasar Islam.
SURVIVAL BKASM SEBAGAI WADAH KESATUAN
Azhariyyin dan Azhariyyaat yang dikasihi Allah
Kronologi unggul sejarah BKASM bermula daripada lakaran perjuangan agung untuk menunjangi kebenaran yang menghimpunkan sejuta pengorbanan para pendokong simpatisannya. Setiap generasi diwariskan amanat perjuangan dan mengalir sehingga kepada generasi seterusnya untuk memastikan kesinambungannya terus kekal. Lantaran generasi-generasi inilah yang telah berjaya mempertahankan survival BKASM sebagai wadah induk perjuangan mahasiswa /wi Selangor yang belajar di bumi anbiya’ ini. Hal ini berlaku selama beberapa dekad yang panjang sebelum diganggu gugat oleh beberapa golongan yang membenci terhadap kesatuan yang dibina oleh BKASM.
Justeru itu, setiap generasi-generasi pelapis perlu memahami rentetan perjalanan peristiwa silam melalui sumber yang sahih. Manakala peranan generasi senior perlu mendominasi aliran penyebaran maklumat agar kekeliruan sumber tersebut dapat diperbetulkan. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaanya yang akan mengakibatkan kamu menyesal di atas perbuatan kamu itu” (Surah al-Hujuraat 6:49)
Allah Taala befirman yang bermaksud : “ Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja mengatakan; ‘kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?(2) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benardan sesungguhnyaDia mengetahui orang-orang yang berdusta". (Surah al-Ankabut 20:29)
Sesungguhnya cita-cita BKASM untuk memastikan kegemilangan Islam dan menyiapkan para pendokongnya sudah pasti akan mendepani jaluran mehnah dan tribulasi. Kita seharusnya melihat masa depan yang sebegitu dengan daya juang yang tinggi dan semangat yang berkobar-kobar. Berjaya atau gagal bukan urusan kita, sebaliknya kita tidak perlu terlalu gembira apabila berjaya dan tidak pula terlalu kecewa apabila diuji dengan kegagalan.
Sekiranya kita pantas berubah dengan zaman dan tidak iltizam dengan perjuangan, nescaya BKASM hanya akan menjadi nostalgia yang berbekam di dalam lembaran-lembaran sejarah.
Disunting pada 9 Ramadhan 1430H
Hanya Ahli Berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk menghantar komen. Sila Mendaftar atau Daftar Masuk. Powered by AkoComment Tweaked Special Edition v.1.4.6 AkoComment © Copyright 2004 by Arthur Konze - www.mamboportal.com All right reserved
|